10 Amalan utama untuk menjadi pelajar cemerlang

Apa khabar pelajar semua? Semoga semuanya ceria dan sihat sejahtera meneruskan perjuangan mendapatkan lebih banyak ilmu.

Pada siri lalu, kita sudah membincangkan betapa pentingnya sikap yang positif untuk mencapai kejayaan. Sifat ini penting dan perlu ada dalam diri semua pelajar sebagai penentu kejayaan.

Mungkin ada yang tergolong dalam kalangan pelajar yang tidak berapa pintar. Namun begitu, sikap yang baik menjadikan kekurangan aspek kepintaran itu tidak berapa penting.

Jika anda memiliki kepintaran otak, ditambah pula dengan kepintaran sikap, maka anda yang pasti menjadi terkemuka dan tokoh hebat dalam pelbagai bidang pada masa hadapan. Percayalah.

Sikap itu letaknya dalam hati, sukar bagi kita membaca apakah sikap seseorang itu. Kita sukar mengukur bahawa seseorang itu bersifat ikhlas, gigih, cinta ilmu, tidak putus asa, sabar dan berdisiplin. Namun begitu, sikap positif seorang pelajar dapat melalui penanda aras yang terbit dalam diri mereka sendiri. Petanda ini ialah amalan yang perlu dilakukan setiap orang.

Tingkah laku murni ini pastilah pancaran daripada sikap positif dan cemerlang yang berada dalam diri seorang itu.

10 Amalan Cemerlang Di Sekolah

1 Pastikan anda hadir ke sekolah untuk belajar

Inilah petanda paling utama bahawa anda boleh menjadi seorang yang berjaya dalam peperiksaan dan hidup anda pada masa hadapan.

Berjayanya anda mengerahkan diri ke sekolah adalah suatu kejayaan besar, pastinya usaha itu memerlukan kesungguhan dan minat mendalam dalam diri.

Halangan utama, biasanya keinginan untuk berehat, berhibur di hadapan televisyen atau bersosial melalui laman sosial iaitu `Facebook’ atau `Twitter’.

Hari yang paling berat ialah hari pertama persekolahan terutama selepas cuti panjang. Kita menjadi malas ke sekolah apabila ada kerja rumah yang tidak siap atau kurang tidur.

Justeru, disiplinkan diri anda, kuatkan semangat dan lawan segala kemalasan yang ada. Memang keadaan itu sukar dielakkan. Setiap perjuangan pasti memerlukan pengorbanan dan memeritkan.

“No pain, No gain”.

Hidup kita sentiasa ada halangan. Orang yang bijak berjaya menukarkan masalah menjadi cabaran.

Dalam hidup kita yang penuh dengan produk segera ini – mi segera, nasi segera, karipap segera dan kek segera. Senario itu sepatutnya turut mempengaruhi keputusan dan cara hidup kita untuk lebih optimis menggunakan masa dengan sebaik mungkin.

Contohnya: bangun pagi segera, mandi segera, gosok gigi segera, berpakaian segera, solat segera, bersarapan segera dan ke sekolah segera. Setibanya anda di sekolah, pastikanlah anda ke kelas tepat mengikut waktu yang ditetapkan.

2 Pastikan anda sentiasa gembira, seronok dan segar apabila berada di sekolah

Kajian menunjukkan bahawa pencapaian pelajar yang belajar dalam keadaan demikian jauh lebih tinggi daripada mereka yang belajar dalam keadaan tidak seronok dan meletihkan.

Keseronokan utama ketika berada di sekolah ialah dapat bertemu dan bermesra dengan rakan sebaya dan seperjuangan di sekolah.

Berkongsi dan bersembang dengan rakan-rakan anda – sama ada berita gembira atau duka. Perkongsian ini dapat menjadikan hidup anda ceria. Apatah lagi jika anda dapat bertemu dengan guru yang diminati dan dihormati.

Bertambah gembira lagi, jika guru dapat merangsang anda dengan kaedah pengajaran yang menarik dan mencabar minda.

Jauhkan diri anda daripada konflik – sama ada dengan rakan atau guru di sekolah.

Maafkanlah orang lain. Nescaya pintu kemaafan Allah dan rezeki kejayaan akan melimpah ruah untuk anda.

3 Pelajar wajib memberi tumpuan ketika guru mengajar

Untuk lebih fokus, perkara pertama yang perlu ditentukan ialah dengan memilih tempat duduk paling strategik. Inilah yang selalu kita abaikan. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang duduk di bahagian tengah dan barisan paling hadapan di dalam kelas, memperoleh pencapaian paling baik dalam pembelajaran.

Semakin jauh tempat duduk kita daripada guru, maka semakin rendah keupayaan kita mendapat pencapaian yang cemerlang. Paling malang, bagi mereka yang suka memilih tempat duduk yang paling sudut di belakang kelas. Lazimnya mereka ini paling mudah hilang tumpuan.

Bersedialah seawal mungkin sebelum guru tiba. Duduklah dengan betul dan tunjukkan minat dan berfikir positif terhadap guru anda.

Ada ketikanya guru mengajar mengikut cara yang anda tidak sukai. Namun begitu pelajar yang cemerlang akan cuba menyesuaikan dirinya mengikut cara guru itu mengajar. Ini dapat membantu anda menjadi lebih fokus.

Anda juga akan menjadi lebih fokus jika anda dapat membaca lebih awal sesuatu tajuk pelajaran sebelum diajar oleh guru. Sediakan buku rujukan dan alat belajar yang diperlukan. Begitu juga latihan dan kerja rumah siap dilaksanakan sebelum kelas bermula.

4 Jangan takut bertanya guru jika tidak faham

Jika anda terasa ada sesuatu yang tidak anda fahami, carilah masa yang sesuai untuk anda bertanya. Jangan dipendam masalah itu, kerana boleh menjadikan anda tertekan dan mengurangkan keseronokan belajar anda.

Ketahuilah, bertanya guru itu suatu keperluan. Kawan-kawan lain yang anda anggap memandang rendah kepada anda itu turut mendapat manfaat dengan penjelasan yang diberikan oleh guru.

Dalam pada itu, jika guru yang menyoal, anda terasa anda tahu jawapannya, cubalah segera mengangkat tangan dan menjawabnya. Ketahuilah, semakin banyak anda mencuba, semakin banyak yang anda akan silap, semakin banyak yang anda akan dapat belajar.

Elakkan berbicara sesama sendiri semasa guru bercakap. Ini menggambarkan kita kurang sopan dengan guru.

Kita juga bagaikan mencuri masa kawan-kawan yang lain. Jika anda bertanya atau membuat kesilapan mengenai sesuatu perkara atau tindakan yang guru anda jelaskan dengan panjang lebar disebabkan anda tidak memberi perhatian.

5 Menjadi tanggung jawab pelajar menghormati guru dan mewujudkan hubungan yang mesra

Hormat dan kasih kepada guru itu suatu kewajipan. Inilah yang mendatangkan keberkatan dan kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan. Sebagai pembimbing guru juga insan biasa yang tidak lari daripada kekurangan. Jagalah maruah dan tutuplah keaiban guru anda. Insya-Allah ilmu yang diterima akan menjadi berkat.

6 Hormati dan bekerjasama dengan kawan-kawan

Silaturahim itu akan menjadikan seseorang itu murah rezeki dan panjang umurnya. Oleh itu, peliharalah persaudaraan dan kasih sayang sesama teman seperjuangan di sekolah. Terimalah rakan-rakan itu seadanya. Tiada insan yang sempurna.

Semua orang bagaikan tertulis pada dahi mereka perkataan `Hargailah Saya’. Oleh itu, hormati dan hargailah semua orang. Fokuskan kepada ciri positif setiap orang. Saling membantu sebagai satu pasukan untuk kecemerlangan. Sikap memberi dan berkongsi ilmu akan menambahkan lagi keberkatan. Jika anda mampu, berkongsilah ilmu dan maklumat yang anda ada. Ilmu itu semakin bertambah apabila dikongsikan.

7 Gunakan masa lapang di sekolah dengan bijak

Sewaktu di sekolah, pasti ada masa lapang tertentu. Isikan masa lapang itu untuk sesuatu yang bermanfaat sebagai seorang pelajar. Umpamanya, membuat ulang kaji sebelum kelas bermula, semasa guru lambat atau tidak masuk kelas, sewaktu rehat atau semasa menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah. Ulang kaji bermaksud, melakukan sesuatu kajian secara berulang-ulang. Sesuatu tindakan yang dibuat berulang kali akan menjadi kebiasaan dan terkesan lebih lama dalam minda ingatan jangka panjang.

Pengetahuan dan kemahiran tersebut akan diguna pakai sehingga ke akhir hayat kita. Ulang kaji akan menjadikan ilmu itu berkembang dan bercambah dengan lebih pesat jika diberi cabaran dan peluang serta ruang untuk penerokaan.

Ulang kaji itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya: mengulang, menanda dan mencatat sebaik saja guru selesai mengajar; membuat latihan dan berkongsi jawapan dengan rakan; membantu kawan yang agak ketinggalan dan membuat nota ringkas serta latihan tambahan untuk penambahan pengetahuan.

8 Mencari kesempatan untuk buat kerja rumah di sekolah

Ramai pelajar yang cemerlang yang selalu lewat pulang ke rumah. Mereka mengambil kesempatan ini untuk menyelesaikan kerja rumah sama ada bersendirian atau dengan bersama-sama rakan-rakan lain semasa di sekolah. Ini amalan yang cukup baik.

9 Bijak menggunakan kemudahan pusat sumber di sekolah

Sekolah anda umpama sebuah universiti yang lengkap dengan segala kemudahan. Pelajar yang cemerlang sentiasa mengambil kesempatan untuk memanfaatkan segala kemudahan ini. Antara kemudahan yang perlu anda gunakan sepenuhnya di sekolah ialah perpustakaan, bilik kaunseling, kemudahan komputer dan bilik perbincangan.

Begitu juga kemudahan sukan dan riadah yang disediakan. Manfaatkan kemudahan itu sepenuhnya demi kesihatan dan kecergasan jasmani dan minda anda semasa belajar nanti. Sesungguhnya, otak yang cerdas itu berada dalam jasad yang cergas.

10 Aktif di sekolah dalam kokurikulum.

Untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya dan cemerlang, anda perlu aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah anda. Bersungguh-sungguh membabitkan diri dalam aktiviti persatuan dan sukan. Aktif dalam aktiviti persatuan akan meningkatkan keterampilan anda dalam berkomunikasi dan berorganisasi.

Keadaan ini akan menjadikan anda mampu mengurus dan memimpin sebagai pemimpin pelapis pada masa depan. Aktif dalam sukan, akan menjadikan anda sihat, cergas dan perkasa dalam bertindak dan menghadapi cabaran tugas serta bertanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Lazimnya, pelajar yang aktif bersukan akan bertindak lebih laju dan pantas dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan.

Penulis

Oleh Bahrom Abu Bakar